Kecemerlangan Khidmat Penjawat Awam Selangor Penyumbang Kemenangan PH

53357755
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersalaman dengan kakitangannya ketika memulakan tugas pertama sebagai Menteri Besar Selangor di Pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, hari ini. 

 

SHAH ALAM, 14 Mei — Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan kecemerlangan sektor perkhidmatan awam negeri ini antara faktor penyumbang kepada kejayaan Pakatan Harapan (PH) untuk terus mentadbir Selangor bagi tempoh lima tahun lagi.

Beliau berkata sumbangan besar yang diberikan menerusi khidmat profesional dan berintegriti sebelum ini dilihat menepati aspirasi rakyat serta berjaya mengukuhkan keyakinan mereka, seterusnya melonjakkan prestasi Selangor untuk menjadi contoh sebuah negeri maju di negara ini.

“Dalam jelajah kempen (Pilihan Raya Umum ke-14) saya ke seluruh negara, antara mesej yang disebarkan adalah mengenai kejayaan Selangor dan saya tidak nafikan ia hasil sumbangan besar penjawat awam negeri.

“Apabila diumum kita (PH) menang majoriti 51 daripada 56 kerusi (Dewan Undangan Negeri), saya terkejut…tetapi sebenarnya ia adalah bukti keyakinan rakyat hasil penilaian ke atas khidmat jujur dan ikhlas kita selama ini,” katanya semasa berucap pada majlis minum pagi bersama kira-kira 100 penjawat awam negeri di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Majlis ringkas itu diadakan sempena menyambut kehadiran Mohamed Azmin untuk  penggal kedua sebagai menteri besar setelah mengangkat sumpah jawatan itu pada Jumaat lepas.

-BERNAMA

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...