
KUALA LUMPUR, 14 Mei (Malaysiaaktif) —
Pameran dan Persidangan Antarabangsa yang ke-22, Franchise International Malaysia (FIM) 2015 mensasarkan nilai potensi pelaburan francais berjumlah 370 juta ringgit dalam masa tiga hari program itu berlangsung.Ini merupakan peningkatan daripada tahun sebelumnya dengan nilai berjumlah 365 juta ringgit.Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah, peningkatan itu adalah berikutan sambutan menggalakkan daripada franchisor tempatan dan juga luar negara.
Jelasnya, FIM 2015 akan menjadi platform kepada francais Malaysia mahupun antarabangsa untuk meningkatkan rangkaian perniagaan mereka.
“Ke arah menjadikan program ini platform untuk kita membantu syarikat-syarikat francais dari segi perkongsian pengetahuan, kita telah menarik lebih 130 syarikat untuk turut serta,” kata Ahmad Bashah.
Tambah beliau, program ini dapat menyokong usaha kerajaan untuk membangunkan lebih ramai usahawan francais serta menjadikan Malaysia hub francais di Asia Tenggara menjelang 2020.
Beliau berkata demikian pada sidang media FIM 2015 dan majlis penyerahan sumbangan penajaan pada Khamis.
Ahmad Bashah berkata FIM 2015 akan disertai oleh lapan negara luar, termasuk Korea Selatan, Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia.
FIM 2015 akan berlangsung dari 12 hingga 14 Jun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam pada itu, Datuk Seri Bashah turut mensasarkan peningkatan sumbangan sektor francais kepada Keluaran Dalaman Negara Kasar (KDNK) kepada 26 billion ringgit berbanding 25.4 billion ringgit pada tahun 2014.