
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya mengetahui wujud dakwaan bahawa dua individu berkaitan 1MDB yang dipanggil untuk memberi keterangan masih berada di dalam negara.
Perkembangan terbaharu itu bertentangan dengan laporan baru-baru ini bahawa Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Halmi tidak dapat menghadirkan diri di hadapan PAC kerana berada di luar negara.
Bagaimana pun, menurut Nur Jazlan, PAC akan menunggu kedua-dua saksi untuk tampil memberi keterangan.
Jelas beliau, PAC menganggap mereka memerlukan masa untuk hadir ke mesyuarat berikutan pihaknya begitu serius dalam meneliti isu berkaitan 1MDB.
Nur Jazlan berkata, sekiranya PAC mempunyai bukti mereka sengaja tidak menghadirkan diri, jawatankuasa itu akan bertindak lebih agresif.
Mengikut prosedur parlimen, surat panggilan dua orang saksi berkenaan telah diserahkan menerusi pegawai-pengawai 1MDB pada 6 Mei lalu agar mereka hadir memberi keterangan kepada PAC pada 26 Mei.
Katanya, selain melalui pos, surat sama turut dihantar melalui faksimile, selain wakil PAC menghubungi Kementerian Kewangan (MOF) menerusi telefon.
Datuk Nur Jazlan ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat PAC bersama Kementerian Pertahanan di bangunan Parlimen, pada Khamis.