Skip to main content
Berita TempatanHomeViral

Alat Kesan Pesalah Trafik (ANPR) Mula Digunakan Ogos

By 15 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

JOHOR BAHARU, 15 Jun —  Sistem Pengesanan Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) yang boleh membantu pihak polis mengesan pesalah trafik, dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya Ogos ini.

Pegawai Turus Trafik Bukit Aman Superintendan Zulkefly Yahya berkata alat pengimbas itu bakal dipasang di sembilan pintu masuk sempadan negara bagi fasa pertama.

“Bagi fasa pertama, sekurang-kurangnya 20 unit ANPR bernilai kira-kira RM30 juta akan digunakan bagi memburu pesalah trafik. Kami dalam proses membeli alat pengimbas tersebut,” kata beliau kepada pemberita selepas tinjauan Operasi Saman Tertunggak Warga Asing 2015 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gelang Patah, Lebuhraya Link Kedua di sini.

Zulkefly berkata bagi pesalah trafik yang dikesan menerusi alat pengimbas yang dipasang pada kereta peronda, mereka boleh dikenakan tindakan saman serta-merta.

“ANPR yang menggunakan teknologi Amerika Syarikat itu bakal digunakan secara meluas di negeri yang bersempadan dengan negara jiran termasuk untuk memburu
pesalah trafik warga asing yang liat membayar saman trafik,” kata beliau.

Selain mengesan kes-kes saman, sistem baru itu juga membolehkan polis mengesan kenderaan jenayah atau yang dicuri, kata Zulkefly.

Operasi yang bermula sejak Jumaat lalu di tiga lokasi sekitar Johor Baharu berjaya mengutip sebanyak 4,200 saman tertunggak oleh pesalah trafik warga
Singapura.

Rata-rata kesalahan yang dilakukan ialah memandu melebihi had laju yang ditetapkan.

Sejak 2010, lebih 700,000 saman tertunggak melibatkan kenderaan asing yang mana lebih 500,000 saman itu melibatkan pesalah trafik dari Singapura.

Justeru itu, operasi memburu pesalah trafik warga asing yang masih gagal melunaskan saman akan diteruskan di beberapa pintu sempadan lain, kata beliau.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda