Skip to main content
EkonomiHomeViral

Akaun 1MDB Tahun Kewangan Mac Masih Belum Diaudit

By 11 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun kewangan yang berakhir pada Mac tahun ini masih belum diaudit, kata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ini didedahkan oleh juruaudit 1MDB, Deloitte semasa siasatan selama empat jam.

“Mereka belum mendapat sebarang arahan daripada pelanggan mereka, Kementerian Kewangan, untuk menjalankan audit akaun 1MDB bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Ditanya mengapa akaun belum diaudit, Nur Jazlan berkata soalan harus diarahkan kepada pihak kementerian.

Beliau menyifatkan siasatan peranan Deloitte sebagai auditor satu ‘rahmat’ kerana ia memberikan jawatankuasa bebas itu maklumat penting.

Mengenai kedudukan 1MDB pada 31 Mac 2014, Nur Jazlan berkata pihak jawatankuasa telah menerima penjelasan Deloitte  berhubung tugas mengaudit yang didakwa dilakukan secara “benar dan adil.

“Mereka (Deloitte) berkata 1MDB adalah satu usaha baik yang memiliki aset mencukupi untuk beroperasi sebagai ‘sovereign fund,” katanya sambil menambah bahawa 1MDB mempunyai aset berjumlah RM13.4bilion di Bank BSI Singapura.

Mengulas mengenai anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Nizar Najib yang bekerja dengan Deloitte, Nur Jazlan berkata dia tidak terbabit dalam audit 1MDB.

“Dia tidak terlibat dalam bahagian audit, tetapi dalam bahagian perkhidmatan kewangan…dia tidak terlibat dalam audit 1MDB.”

“Tiada campur tangan politik,” kata Nur Jazlan.

Sementara itu, beliau berkata bekas juruaudit 1MDB, KPMG dan Ernst & Young akan memberi keterangan kepada PAC pada 17 Jun.

Menurut Nur Jazlan, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB dan juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Sharol Halmi akan dipanggil untuk memberi keterangan pada minggu pertama Ogos depan.

Beliau berkata, kali ini jawatankuasa tidak lagi akan menerima sebarang alasan daripada mereka.”

Mereka berdua dijadualkan berjumpa PAC pada 26 Mei, tetapi gagal berbuat demikian dengan alasan mereka berada di luar negara.

Selain juruaudit dan lembaga pengarah, PAC akan juga memanggil ahli perniagaan Jho Lo dan Najib.

Nur Jazlan berkata Peguam Negara dan pegawai-pegawai Bank Negara juga boleh dipanggil untuk memberikan pencerahan berhubung1MDB.

Beliau berkata PAC menjangka siasatan akan diselesaikan menjelang Ogos dan mereka akan berbincang untuk memutuskan siapa akan dipanggil pada September depan.

 

 

Tinggalkan komen anda