Skip to main content
Berita TempatanEkonomiHomeViral

TV Internet Baharu Malaysia Serendah RM10 Sebulan

By 14 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 14 Jun — iflix, perkhidmatan TV Internet yang baru dilancarkan di Malaysia, dan menawarkan lebih 11,000 jam program yang boleh diakses dengan hanya RM10 sebulan atau RM96 setahun, dijangka mengubah landskap televisyen berbayar tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif iflix Malaysia, Azran Osman-Rani, berkata sudah sampai masanya untuk perkhidmatan seperti itu diperkenal di negara ini berikutan pemilikan telefon pintar yang tinggi, akses internet yang semakin meluas, kelajuan jalur lebar serta pendapatan boleh belanja yang semakin meningkat.

Mengenai pelan untuk mengembangkan perkhidmatan itu, Azran berkata, syarikat itu merancang memperkukuh kedudukannya dengan menjalin usaha sama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi, bank dan pengeluar peranti.

“Kami sedang berunding dengan syarikat telekomunikasi berikutan perkhidmatan kami adalah kaedah terbaik untuk meningkatkan penggunaan internet.

“Selain meningkatkan jumlah jam kandungan, kami juga menyasar untuk menawarkan lebih banyak program asli tempatan dengan berbincang dengan pengeluar kandungan tempatan bagi mewujudkan program TV inflix tulen,” katanya.

iflix, produk usaha sama antara Catcha Group dan Evolution Media Capital, mahu memanfaatkan trend global perkhidmatan langganan video atas permintaan yang semakin besar, dengan menyasarkan 250 juta penduduk di Asia Tenggara yang menggunakan telefon pintar.

Azran yang juga Ketua Pegawai Operasi Kumpulan iflix, berkata syarikat itu memeterai kontrak baharu dengan rakan usaha sama, dan menyasarkan untuk meningkatkan sekali ganda jumlah jam tersedia dalam tempoh beberapa bulan akan datang, selain menambah lebih banyak variasi.

Antara penyedia kandungan iflix ialah studio terkemuka Hollywood seperti Twentieth Century Fox Television Distribution, BBC Worldwide dan Warner Bros International Television Distribution.

Azran berkata, antara kekuatan iflix ialah ia membolehkan sistem bertindak pintar dalam mengguna pakai resolusi kadar bit bagi menyesuaikannya dengan kelajuan jalur lebar, sekali gus membolehkan kandungan melakukan penstriman dengan mudah.

“Pelanggan juga boleh mengakses kandungan menerusi aplikasi inflix pada telefon pintar. Dalam tempoh beberapa bulan, kami juga akan membangunkan aplikasi untuk TV pintar,” katanya.

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda