Skip to main content
HomeRencana & PendapatViral

Budaya Buruk Rakyat Sebab Asakan Sikap Liar Pendatang?

By 4 Julai 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Mohamad Rizal Redzuan

Sejak dari tadika kita dididik untuk mengikut peraturan dan menjaga disiplin. Kita diajar menepati masa, beratur dan menunggu giliran. Budaya ini diterapkan dalam diri kita sejak dari kecil.

Mungkin ada di antara kita pernah melihat pergaduhan di sekolah kerana ada rakan yang memotong barisan ketika membeli minuman di kantin. Sedikit demi sedikit kita mendewasakan diri melalui pegangan kepada disiplin dan menunggu giliran dengan berbaris dalam semua situasi.

Bagaimana pun, agak menghairankan apabila kita dewasa, kita tidak dapat meneruskan budaya ini walaupun ketika berada di tempat mulia, seperti di masjid.

 

20150704011939

 

Pastinya kita pernah mengalami situasi di mana sedang kita berbaris menunggu giliran dalam keadaan letih tiba-tiba dengan selambanya orang lain datang dan memotong barisan. Dalam senario yang lumrah berlaku, hati kita juga menjadi panas sewaktu mengharungi kesesakan jalan raya, tiba-tiba muncul kenderaan berat, seperti lori dan bas memotong barisan melalui lorong kecemasan.

Dari mana datangnya budaya memotong barisan ini sebenarnya? Ia juga kerap berlaku pada Ramadan yang mulia ini, apabila hampir semua masjid dan surau di negara ini menyediakan makanan untuk berbuka, sama dengan hidangan tradisi bubur lambuk atau hidangan lain untuk berbuka.

Lebih kurang 20 tahun dahulu amat jarang kita melihat orang memotong barisan semasa mengambil bubur lambuk, seperti di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur. Semuanya beratur. Begitu juga ketika mengambil makanan berbuka dan sahur.

Tetapi, sejak akhir-akhir ini budaya beradab ini semakin terhakis walaupun di kalangan orang dewasa. Dalam beberapa situasi kita dapat melihat orang berebut mengambil bubur lambuk dan makanan di masjid ketika berbuka. Budaya ini diteruskan juga di bazar Ramadan apabila  pembeli yang datang lewat menyelit-nyelit untuk berada di hadapan tanpa berasa malu.

Saya sendiri melihat ini berlaku. Dalam banyak keadaan, sikap tidak beradab kaum pendatang penyumbang utama terhakisnya budaya menunggu giliran dengan cara berbaris. Di masjid, apabila selesai solat asar, jemaah beratur untuk mengambil bubur lambuk, tetapi apabila golongan pendatang keluar dari dewan solat, mereka terus menyerbu ke hadapan tanpa mempedulikan orang lain. Sikap tidak sopan mereka memaksa jemaah lain turut memotong barisan kerana tidak berpuas hati. Ini boleh dilihat di merata-rata masjid, termasuk ketika mengambil makanan untuk berbuka.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya,  sebagai contoh, menyediakan makanan untuk 2500 orang jemaah setiap hari untuk berbuka, sahur dan moreh. Makanan cukup walaupun hingga kepada jemaah terakhir kerana jumlah hanya sekitar 2000 orang untuk solat maghrib, sementara untuk waktu moreh dan sahur, jumlah tidak begitu besar.

Ini bermakna walau selewat mana pun kita, makanan insya-Allah ada. Tetapi, budaya pendatang yang menggunakan sistem “rempuh” telah menyebabkan jemaah tempatan yang terkenal ketertibannya, termasuk ketika berada di tanah suci Makkah, turut memotong barisan.

Hakisan budaya ini perlu dipandang serius kerana ia melibatkan remaja tempatan yang bakal mewarisi negara ini dengan budaya tidak senonoh. Apakah wajar disediakan lorong berasingan untuk pendatang dan masyarakat tempatan?Tujuannya bukan untuk mendiskriminasikan, tetapi untuk mendidik orang luar mengenai ketertiban orang kita.

Ini kerana dalam banyak hal pendatang asing membawa budaya buruk yang boleh Fabrik peradaban dalam masyarakat Malaysia.

 

**Semua pandangan dan pendapat adalah cetusan suara hati penulis dan tidak mencerminkan dasar pihak editorial Malaysiaaktif

 

Tinggalkan komen anda