Skip to main content
HomeViral

Dua Disyaki Terlibat Dengan Pengganas IS Ditangkap

By 10 Julai 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh : Pradeeb Kumar Velayutham

BUKIT AMAN, 10 Julai 2015 (Malaysiaaktif) – Bahagian Pencegah Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman D9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua orang suspek dalam dua operasi berasingan di sekitar pusat bandaraya  Kuala  Lumpur.

Kedua-dua suspek warga tempatan itu disyaki mempunyai kaitan langsung  dengan Kumpulan Pengganas Islamic State (IS).

Menurut kenyataan akhbar PDRM, mereka dipercayai merancang untuk melakukan serangan ke atas beberapa sasaran penting di sekitar Lembah Klang.

Suspek pertama, yang ditangkap pada 2 julai 2015 berusia 28 tahun berasal dari Kuala Lumpur dan dipercayai mempunyai hubungan dengan beberapa orang warga Eropah yang merupakan anggota kanan kumpulan pengganas Islamic State di Syria.

Suspek yang mula terdedah dengan ideologi kumpulan Islamic State sejak 2012 juga mempunyai hubungan rapat dengan Ahmad Affendi Manaf, rakyat Malaysia yang terbunuh selepas melancarkan serangan bunuh diri di Homs, Syria pada 9 November 2014.

Suspek kedua yang berusia 31 tahun ditangkap pada 7 julai 2015, berasal dari Kuala Lumpur dan pernah menganggotai kumpulan pengganas di Syria di antara awal 2014 sehingga Ogos 2014, sebelum kembali ke Malaysia kerana tercedera dalam satu pertempuran di sana.

Kedua-dua suspek  telah  mengadakan beberapa pertemuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak penghujung  2014 bagi membincangkan perancangan untuk melancarkan serangan di Malaysia.

Dalam kenyataan yang sama PDRM ,menyatakan kebimbangan terhadap trend baru melibatkan warga tempatan yang merancang untuk melancarkan serangan setelah berkomunikasi dengan anggota kanan kumpulan pengganas Islamic State di Syria. Ini selari dengan modus operandi serangan terbaharu oleh individu-individu yang sama ada bersimpati, terpengaruh dengan ideologi pengganas atau menerima arahan daripada anggota kanan Islamic State di Syria bagi melancarkan serangan di negara masing-masing, termasuk di Tunisia, Perancis dan Kuwait pada penghujung bulan lepas.

Kedua-dua suspek ditangkap di bawah, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut Prosedur 3 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Polis turut merampas buku-buku mengenai jihad dan fahaman salafi jihadi serta resit-resit pembelian barang-barang taktikal pertempuran daripada kedua-dua suspek tersebut.

 

Tinggalkan komen anda