Skip to main content
EkonomiHomeViral

Kerajaan Setuju Jual Sri Tioman 1 Kepada Penduduk

By 10 Julai 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Diyana Zamri

KUALA LUMPUR, 9 Julai (MalaysiaAktif) – Warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menerima berita gembira menjelang Hari Raya Aidilfitri ini apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembinaan 11 buah tempat letak kereta bertingkat di sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) WPKL dengan kos RM290juta.

Selain itu, permintaan penduduk Rumah Pangsa Sri Tioman 1 yang disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Dato’ Dr. Haji Mohd Shafei Abdullah, juga membawa hasil apabila Najib mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menjual rumah tersebut kepada mereka.

 

image7

 

“Saya amat bersimpati dengan penghuni Rumah Pangsa Seri Tioman 1, maka dengan itu kerajaan bersetuju menjual rumah tersebut dengan harga yang munasabah dan tidak membebankan rakyat,” kata Najib.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor turut mengulas bahawa harga rumah tersebut akan mengikut harga yang dahulu di antara RM35,000 hingga RM45,000.

Buat masa sekarang, penghuni rumah pangsa Sri Tioman 1 menyewa dengan kadar harga RM124 sebulan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi subsidi penyelenggaraan sebanyak RM250 untuk setiap unit.

 

image1

 

Lebih 5000 orang warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membanjiri Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati sempena Program Nur Ramadan ini yang dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL malam tadi.

Seramai 2000 orang anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka yang kurang berkemampuan diraikan dalam Program Nur Ramadan.

Mereka menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM150 seorang daripada KWP dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Mereka turut menerima sumbangan barangan keperluan asas, seperti beras dan gula dari Yayasan Al-Bukhary, kain pasang sumbangan gedung kain JAKEL serta kain batik dan kain pelikat sumbangan Yayasan Kesejahteraan Bandar.

Masjid Salahuddin Al-Ayyubi juga menerima sumbangan RM10,000 dari Yayasan Wilayah Persekutuan untuk pengurusan menaik taraf kemudahan masjid.

Program Nur Ramadan yang bermula pada 23 Jun hingga 9 Julai berjaya mengumpul sumbangan wang tunai berjumlah RM1.275 juta yang telah diedarkan kepada 8500 asnaf di Wilayah Persekutuan. Ini merupakan inisiatif kerjasama strategik antara KWP dan MAIWP melalui perkongsian peruntukan bagi manfaat kepada golongan miskin di Wilayah Persekutuan.

Program Nur Ramadan dimulakan sejak 2009 dengan kerjasama Pusat-Pusat Khidmat Masyarakat. Ia merupakan program tahunan KWP dalam mengeratkan silaturrahim antara pihak kerajaan dengan warga WPKL dan dalam masa yang sama berusaha menerapkan nilai rasa kasih sayang kepada golongan kurang berkemampuan.

 

Tinggalkan komen anda