Skip to main content
Home

Pesara Greek Rebah, Menangis Gagal Keluarkan Duit Bank

By 5 Julai 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Pesara Giorgos Chatzifotiadis berbaris di hadapan hampir tiga buah bank di Thessaloniki, bandaraya kedua terbesar Greece pada Jumaat dengan harapan dapat mengeluarkan wang pencen bagi pihak isterinya, tetapi usahanya berakhir dengan kekecewaan.

Apabila dia berbaris menunggu di depan bank ke empat dia diberitahu yang dia tidak boleh mengeluarkan keseluruhan simpanan kerana yang dibenarkan hanya 120 euro  atau lebih kurang RM500.

 

cry4

Menyayat hati: Chatzifotiadis meningis hiba mengenangkan negara dirundung malang .

 

Chatzifotiadis tidak dapat menerima alasan itu, lantaran terduduk dan menangis.

Pesara berusia 77 tahun itu berkata dia menjadi begitu kerana tidak sanggup melihat negaranya terperangkap dalam keadaan tersangat tertekan.

“Itu sebabnya saya berasa amat tertewas, bukan sekadar disebabkan masalah peribadi,” kata Chatzifotiadis.

Gambar dia terduduk di luar bank menangis teresak-esak kerana putus asa dengan buku bank dan kad pengenalan di sisinya yang dirakam oleh juru foto AFP itu menggambarkan secara realistik bagaimana rakyat marhaen Greece sedang menderita berikutan krisis hutang yang dihadapi negara mereka.

 

cry2

Pegawai bank memberitahu warga emas mereka tidak boleh keluarkan duit.

 

Athens mengenakan kawalan modal dan bertindak menutup semua bank sejak Isnin bagi menyekat kesan lebih buruk kepada wang yang ada. Bagaimana pun, sejak Isnin beberapa buah cawangan bank dibuka semula selama tiga hari untuk membolehkan para pesara yang tidak mempunyai kad bank mengeluarkan pencen mereka yang hanya dihadkan kepada 120 euro tiap seorang.

Mengenang kembali bagaimana dia bersusah payah bergerak dari sebuah bank ke sebuah bank dalam kekecewaan untuk mengeluarkan wang  isterinya, Chatzifotiadis berkata  apabila dia dimaklumkan oleh staf di bank ke empat bahawa dia tidak boleh mengeluarkan wang, dia terus terduduk.

Seperti kebanyakan rakyat Greece di utara negara itu, Chatzifotiadis dan isterinya, pernah tinggal beberapa tahun di Jerman di mana mereka bertungkus lumus bekerja di lombong arang batu dan kemudian di sebuah kilang.

 

cry3

Pesara dan warga emas di Greece antara yang menjadi mangsa krisis ekonomi negara itu.

 

Dan kini, Berlin dipersalahkan oleh banyak pihak di Greece ekoran ketegasan menuntut kerajaan Greece melaksanakan langkah-langkah berjimat untuk mendapatkan bantuan tambahan antarabangsa.

“Saya melihat kawan-kawan mengemis untuk mendapatkan hanya beberapa sen untuk membeli roti. Saya menyaksikan semakin banyak kes bunuh diri. Saya seorang yang amat sensitif. Saya tidak sanggup melihat negara sendiri dalam keadaan sebegini,” katanya.

“Eropah dan Greece telah melakukan beberapa kesilapan. Kita mesti cari penyelesaian,” tambah beliau.

Apa pun, Chatzifotiadis sedar dia tidak mampu menukarkan keadaan, malahan dia tidak pasti dapat mengundi dalam pungutan suara pada Ahad bagi menentukan sama ada negara itu patut menerima syarat-syarat untuk menyelamatkan Greece.

Para pemimpin Eropah telah memberikan amaran bahawa undi ‘Tidak’ bermakna mengatakan tidak kepada eurozone.

Dengan menunjuk arah pusat mengundi yang terletak 80 kilometer dari kediamannya, Chatzifotiadis berkata: “saya tiada wang untuk ke sana, jika anak-anak saya tidak menghantar dengan kereta mereka.”

 

Tinggalkan komen anda