
Oleh Syed Hisham Shah
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Malaysiaaktif) – Sekali lagi acara yang memberi tumpuan kepada kuasa komunikasi, terutamanya secara penggunaan kaedah digital memeriahkan sambutan hari kemerdekaan.
Acara yang dinamakan KL Converge sekali lagi diadakan berikutan sambutan menggalakkan pada penganjuran tahun lepas.
Acara ikonik ini memberi ruang kepada multimedia, aplikasi Internet serta penggerak industri kandungan kreatif berkongsi idea dan menyedari peluang baru dalam merancakkan pertumbuhan dan sebagai penyumbang penting kepada KDNK negara.
KL Converge 2015 dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Keruak, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurut beliau, KL Converge kali ini penting dalam merapatkan jurang digitalnegara.
“Gaya hidup digital sesuatu yang masyarakat harus nikmati baik di bandar mahupun di luar bandar.”
“Penduduk di kawasan bandar semakin bergerak kepada bandar pintar, manakala mereka di kawasan luar bandar agak ketinggalan, hingga menjadikan jurang digital antara mereka semakin lebar.”
“Atas sebab itu, kita telah memilih Tumpuan dan Keterangkuman Digital sebagai tema kali ini untuk merapatkan lagi jurang yang sedia ada in,.” jelas beliau dalam ucapan perasmian di hadapan delegasi dari anggota-anggota ASEAN keASEAN SUMMIT ke-26 kali ini.
Jelas Salleh, KL Converge juga platform untuk mencari potensi di dalam ruang digital, “Ini peluang untuk mencari bakat diri dan menemui idea-idea baru untuk dijelmakan menjadi realiti.”
Beliau turut menggesa orang ramai supaya memanfaatkan acara ini bagi menerokai kelebihan dan kebaikan Internet serta ruang digital yang ada.
Pelbagai program menarik berkaitan Internet of Things (IOT), aplikasi, godaman, pameran myMaker dan banyak lagi disediakan untuk menarik kunjungan orang ramai.
Acara kemuncak semasa persidangan tiga hari ini termasuk Mega Startup Weekend, di mana pemaju, pengurus perniagaan, peminat start-up, pakar pemasaran dan artis grafik dibimbing oleh mentor pelbagai latar belakang.
KL Converge 2015 berlangsung dari 27 hingga 29 Ogos 2015.