Skip to main content
EkonomiHomeViral

ASNB Sahkan Agihan Pendapatan AS1M 6.40 Sen Seunit

By 30 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Malaysiaaktif) – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengesahkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.40 sen seunit untuk Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2015.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata pengagihan pendapatan tersebut melibatkan kos sebanyak RM694.96 juta yang turut mendukung hasil keuntungan kepada 395,035 pemegang yang telah melanggan10.9 bilion unit AS1M.

“Sehingga 28 September 2015, tabung AS 1Malaysia memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM813.57 juta. Keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM431.35 juta atau 53.0%,” katanya dalam sidang media di Menara Permodalan Nasional Berhad, Kuala Lumpur hari ini.

“Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM233.75 juta atau 28.7% daripada jumlah pendapatan kasar tersebut.”

Beliau turut memaklumkan pihaknya perlu memberi keutamaan kepada pengurusan modal berdasarkan keadaan ekonomi semasa.

“Pengurus pelaburan AS 1Malaysia perlu memberi keutamaan kepada pengekalan modal tabung di samping keupayaan tabung dalam menjana pengagihan pendapatan yang bersesuaian dengan keadaan persekitaran semasa.

“Kadar pengagihan pendapatan AS 1Malaysia ini adalah berpatutan jika dibandingkan dengan instrumen-instrumen pelaburan lain yang sesuai dijadikan perbandingan,” katanya lagi.

Pemegang unit boleh mengemaskinikan buku pelaburan masing-masing di pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB terdekat mulai 1 Oktober 2015.

Sebelum ini, anak syarikat milik penuh PNB itu mengumumkan dividen sebanyak 6.60 sen seunit bagi Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia)  bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2014 iaitu 20 sen lebih berbading tahun ini.

Pembayaran itu  dimanfaatkan 376,631 pemegang unit yang telah melanggan sejumlah 10.22 bilion unit AS 1Malaysia.

 

 

Tinggalkan komen anda