
Oleh Amran M.Kamis/ M. Hairul/ Zurina Saad (Yan)
YAN, 28 Okt (Malaysiaaktif) — Kerjasama di antara Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kedah bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Negeri Kedah diteruskan melalui kesepakatan program “Kembara Jalinan Kasih” yang dijayakan bersama-sama Komuniti 1 Malaysia Daerah Yan dan Pejabat Daerah Yan.
Antara pengisian yang di rancang termasuk gotong royong, memasak Bubur Asyura dan Kembara Jalinan Kasih. Gotong royong memasak Bubur Asyura yang dimulakan sejak awal pagi disediakan oleh kakitangan Pusat Maklumat Rakyat Yan dibantu oleh Komuniti 1Malaysia (K1M) Kampong Raga. Bubur tersebut akan diagihkan kepada para penerima sumbangan dan barangan keperluan harian.
Pegawai MKN Negeri Kedah, Saridan Ismail memaklumkan bahawa inisiatif ini bertujuan membantu warga emas yang sakit , OKU atau mereka yang susah. Ia juga merupakan diantara aktiviti MKN yang dilaksanakan tiap-tiap tahun.
Esah Dollah, 83 tahun melahirkan rasa syukur di atas bantuan yang diterima. Beliau yang merupakan seorang ibu tunggal OKU (kaki lumpuh) hanya mengharapkan bantuan jiran untuk membantu beliau dalam meneruskan kehidupan.
Seorang lagi warga emas, Hashim Abdul Lateh 75 tahun, sebak dan terharu dengan program ini . Beliau yang hanya hidup sebatang kara ketika ditemui mengucapkan terima kasih diatas bantuan yang disampaikan.