
Oleh Yahya Abdul Rajak (Sabah)
KOTA KINABALU, 21 Oktober 2015 (Malaysiaaktif) – Ketepatan dan kebenaran dalam menilai pencapaian di setiap agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memastikan kecemerlangan, meraih kepercayaan rakyat dan mencerminkan integriti kakitangan.
Menurut Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KKMM, Datuk Abdul Rahman Mohamad, kementerian tidak akan berkompromi jika terdapat kakitangan melanggar etika kerja.
Beliau berharap agar setiap pegawai terus menunjukkan mutu kerja cemerlang dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Abdul Rahman juga berpesan kepada Pegawai Penilai Pertama dan Kedua supaya jujur dalam tugas dan bersaing dalam mencapai integriti setanding dengan mereka yang berdedikasi dan cemerlang.
Tambah beliau lagi, kewibawaan kementerian bergantung kepada kebijaksanaan serta komitmen anggota di peringkat bawahan. Sehubungan itu, kerjasama perlu diteruskan secara subur supaya dapat diterjemahkan kepada keharmonian negara secara mendampingi rakyat dalam melaksanakan tugas penyebaran maklumat yang tepat dan diyakini.
Abdul Rahman berkata demikian pada Taklimat Pelaksanaan Penilaian Prestasi anjuran KKMM Peringkat Zon Sabah yang dihadiri di sini hari ini.
Taklimat dihadiri seramai 120 orang kakitangan pelbagai agensi di bawah KKMM, termasuk Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Bernama, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).