Skip to main content
HomeWilayah Persekutuan

Komponen BN Mesti Kembali Ke Prinsip Penubuhannya – Najib

By 11 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 11 Okt  — Komponen parti Barisan Nasional (BN) mesti kembali ke prinsip asas penubuhannya dan memperkukuhkan kerjasama antara kaum untuk masa depan negara yang lebih baik.

Perdana Menteri dan pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak berkata formula BN yang berteraskan kepada kesederhanaan adalah yang terbaik untuk Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, agama dan budaya.

“Pada akhirnya, kumpulan etnik utama di negara ini perlu bekerjasama. Kita tidak boleh melakukannya secara bersendirian.

“Orang Melayu tidak boleh melakukannya bersendirian, orang Cina juga tidak boleh. Kita mesti melakukannya bersama dalam sebuah kesatuan politik yang dikenali sebagai Barisan Nasional,” katanya semasa berucap merasmikan perhimpunan agung tahunan MCA ke-62 di Wisma MCA, di sini, Ahad.

Beliau menekankan, BN mampu bangkit semula, malah menjadi lebih kuat jika semua komponen parti bersatu dan fokus untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 yang akan datang.

Najib berkata, sebagai sebuah kerajaan dan parti politik, BN mesti sentiasa mendengar dan responsif terhadap rakyat.

“Sekarang, mari kita bangunkannya atas asas ini. Kita mesti bangkit. Jika kita boleh bersatu, kita boleh melakukannya. Kita menjadi lebih kuat,” katanya.

Perdana Menteri juga menggesa rakyat Malaysia untuk mempertahankan kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan prinsip teras negara yang memastikan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat.

Tambahnya, walaupun terdapat perbezaan dalam kalangan rakyat, mereka mesti diuruskan dan diharmonikan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan dalam semangat BN yang dibina atas semangat kepercayaan dan konsensus.

“Kita mesti tetap berpegang teguh kepada kepercayaan kita dalam kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mengenai masa depan, Najib berkata negara ini mempunyai masa depan yang baik di bawah BN.

Sambil menyindir pembangkang, Najib berkata, tidak seperti pembangkang yang arah tuju mereka adalah berjerebu, BN mempunyai pelan tindakan yang jelas untuk masa depan negara.

“Kita mungkin tidak sempurna, tetapi kita jauh lebih baik daripada alternatif itu, dan itulah sebabnya mengapa anda perlu percaya kepada BN,” katanya.

“Kita boleh mencipta masa depan dengan berusaha melakukannya bersama-sama hari ini. Kita boleh mencipta masa depan kita dan masa depan itu adalah melalui BN,” katanya.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda