
Oleh Mohd Shahrizan Shahabudin (Pulau Pinang)
PULAU PINANG, 30 Okt (Malaysiaaktif) — Seorang penunggang motosikal, Mohamad Noor Firdaus Yahya, 24, terselamat walaupun tercampak ke dalam laut setelah motosikal yang ditunggangi terlibat di dalam satu kemalangan yang membabitkan dua buah motorsikal di KM 1.4, Jambatan Pulau Pinang menghala ke Pulau Pinang kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Prai, Penguasa Bomba Kanan II, Roslan Rashid, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.34 pagi.
Sejurus tiba di tempat kejadian didapati memang telah berlaku kemalangan dan seorang mangsa dipercayai terpelanting dan tercampak ke dalam laut. Mangsa ditemui dan diselamatkan menggunakan kaedah ‘anchoring.’
Menurut Roslan, mangsa bernasib baik kerana air laut surut ketika kemalangan berlaku.
Beliau berkata, mangsa berjaya di bawa naik ke atas jambatan pada kira-kira pukul 10.12 pagi dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.
Kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh lebih 5 kilometer hingga ke Seberang Jaya.