
Oleh Edawati Sulaiman @ Hod (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Malaysiaaktif) — Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari pagi tadi turun padang untuk bertemu peniaga dan penjaja kecil di sekitar kawasan Pasar Air Panas dan Pasar Pagi Setapak Jaya untuk mendengar permasalahan mereka.
Program disambut baik oleh peniaga dan penjaja kerana masalah dan kesulitan yang mereka hadapi mendapat perhatian pihak lain, terutama daripada pemimpin setempat. Mereka berpendapat dengan tidak secara langsung, ia mendekatkan hubungan antara pemimpin masyarakat dengan penduduk setempat.
Seorang peniaga buah-buahan yang hanya dikenali sebagai Wilson, 50, berkata aktiviti turun padang seperti ini memudahkan mereka menyampaikan masalah tanpa tanpa perlu hadir ke pejabat Ahli Parlimen. Kehadiran Pengurus Cawangan Dewan Bandaraya KUala Lumpur (DBKL) juga dapat membantu menyelesaikan masalah mereka dengan lebih cepat.
Bagi Ketua Parti Progresif Rakyat (PPP) Setiawangsa, Simon Suresh, program santai seperti ini lebih berkesan untuk pemimpin menyelami hati rakyat sehingga peringkat akar umbi.
Beliau berkata, aktiviti ini juga membantu pihaknya mengesan sebarang bentuk keperluan masyarakat setempat bagi membolehkan bantuan segera disalurkan.