
Oleh Faris Fuad (Parlimen)
KUALA LUMPUR, 30 Nov (Malaysiaaktif) – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan siasatan berkaitan kes melibatkan masyarakat Kuala Kedah membakar al-Quran dalam upacara keagamaan telah selesai.
Beliau berkata insiden yang didakwa oleh Ketua Wanita Umno Bahagian Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim itu akan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
“Siasatan telah lengkap dan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 5 Februari 2015 dan menunggu arahan selanjutnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, sebanyak 10 laporan polis telah dibuat pelbagai pihak, termasuk DAP bagi membantah kenyataan Mashitah itu.
Dr Mashitah menjelaskan beliau tidak gentar dengan tindakan beberapa pemimpin DAP itu untuk menyamannya kerana membangkitkan isu pembakaran Al-Quran dalam perbahasannya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lepas.
Beliau juga memaklumkan kelantangannya bersuara adalah untuk menegakkan keadilan terhadap golongan tertentu yang mempermainkan kesucian agama Islam.