
Oleh Aneta Ahmad (Kemaman)
KEMAMAN, 22 Nov ( Malaysiaaktif) – Lebih 90 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) dan ahli komuniti dalam Mukim Teluk Kalong menghadiri Majlis Perjumpaan Pegawai Daerah Kemaman Bersama J3K dan Komuniti Mukim Teluk Kalong semalam.
Majlis dianjurkan oleh Penghulu Mukim Teluk Kalong dengan Kerjasama Pejabat Daerah Kemaman di Perkarangan Kediaman Penghulu Mukim di Bukit Kuang, Kijal.
Pegawai Daerah Kemaman, Datuk Mohd Rozali Salleh berkata semua J3K yang dilantik berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan bagi membantu memupuk kepercayaan masyarakat dan bertindak sebagai perantaraan rakyat dengan kerajaan.
Beliau berkata J3K perlu menjalinkan kerjasama dengan semua agensi kerajaan, khasnya yang di peringkat daerah. Ini akan meningkatkan imej dimata masyarakat, terutama bagi yang memerlukan perkhidmatan.
Antara pengisian majlis tersebut, termasuk taklimat keselamatan kampung oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan penubuhan Komuniti Kepolisan di Bukit Kuang.