Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomePahangViral

Tiada Mangsa Terperangkap Dalam Tanah Runtuh

By 12 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 12 Nov ( Malaysiaaktif) — Tiada pemandu atau kenderaan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Karak dan kerja-kerja pembersihan dijangka siap pagi ini.

Polis berkata kejadian hanya membabitkan tiga buah kereta dan sebuah lori .

Syarikat pemegang konsesi laluan berkenaan, ANIH Berhad berkata tanah runtuh itu berlaku di sebelah laluan menghala ke barat di antara Lentang dan Bukit Tinggi di KM52.4 berikutan hujan lebat sejak 5.30 petang semalam.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.30 petang apabila tanah, pokok dan bongkah-bongkah batu terhempas ke lebuh raya hingga ke laluan bertentangan.

Susulan kejadian, ANIH serta merta menutup lebuh raya di lokasi tersebut.

Pada peringkat awal kejadian, pegawai-pegawai lebuh raya melaporkan bahawa tiga buah kenderaan dan sebuah lori treler terperangkap di kawasan berkenaan tetapi semua pemandu terselamat.

Bagaimana pun, pihak Jabatan Bomba meneruskan usaha mencari seperti mana diperlukan mengikut prosedur.

Pegawai-pegawai ANIH masih lagi menjalankan kerja-kerja pembersihan, selain menguruskan lencongan arus trafik.

Mereka menjangka laluan dapat dibuka semula pagi ini.

Pasukan keselamatan juga berada di lokasi bagi membantu menyuraikan kesesakan trafik. Penyiasatan terperinci akan dilakukan untuk mencari punca tanah runtuh itu.

Sementara itu, Malaysiaaktif mendapati sebuah klip video yang diviralkan sejak semalam terus dikongsi dalam media sosial walaupun tidak benar. Klip yang diviralkan itu sebenarnya kejadian tanah runtuh di negara lain.

Orang awam dinasihatkan supaya jangan melayan laporan palsu, sebaliknya merujuk kepada saluran Twitter rasmi @LPTT atau hubungi hotline 095479111 atau Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kerja Raya 03-26107727 yang beroperasi 24 jam.

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda