Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraEkonomiHomePerakViral

‘Connecting The Unconnected’ Dengar Rintihan Orang Asli

By 22 Disember 2015Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Muhd Shariffudin Abd Razak (Manjung)

POS CHIONG (GERIK), 22 Dis (Malaysiaaktif) — Konvoi enam kenderaan pacuan empat roda di bawah Program ‘Connecting The Unconnected’ Siri 2/12 bergerak Ahad lepas dari Kuala Kangsar menuju ke Sungai Siput,

Hentian pertama di Kampung Lalang Pos Poi, Sungai Siput Utara menyaksikan rombongan disambut oleh pengerusi Komuniti 1Malaysia (K1M) Kampung lalang Pos Poi, Jamil Uda.

 

20151221212435

Konvoi kenderaan ‘Connecting The Unconnected’ di Pos Chiong.

 

Beliau seterusnya membawa ketua rombongan, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Sukari Ab Hamid melawat kuarters kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang terbengkalai hampir 15 tahun dan memerlukan pembaikan segera.

Konvoi kemudian berlepas menuju ke Pos Kemar di Gerik, di mana pengurus Orang Asli Pos Kemar, Razman Regin menunggu untuk memberi taklimat tentang latar belakang masyarakat Orang Asli dan perkampungan ini. Peserta rombongan bermalam di rumah bot di sini sebelum bergerak ke lokasi seterusnya.

Pada Ahad, konvoi tiba di Pos Chiong, di mana Tok Batin Ramli Ain serta penduduk setempat sedia menunggu ketibaan mereka. Di sini, Sukari menyampaikan titik sentuhan dari Jabatan Penerangan berupa 126 buah kotak berisi barangan keperluan asas dan 15 beg berisi pakaian dewasa dan kanak-kanak untuk diagihkan kepada empat buah kampung Orang Asli di Pos Chiong, iaitu Kampung Chuweh, Kampung Chiok, Kampung Charuk Bus, Kampung Tebang 1 dan Tebang 2 Asli.

 

20151221214128

Penyampaikan titik sentuhan berupa 126 buah kotak berisi barangan keperluan asas.

 

Juga di Kampung Chiong Sukari dimaklumkan tentang masalah bekalan air bersih dan longgokkan balak yang dihanyutkan ke kampung mereka. Menurut Ramli, masalah bekalan air bersih telah berlanjutan selama hampir tiga bulan di kampung ini. Walaupun pihak kontraktor sudah membuat tinjauan sebanyak dua kali, namun hingga sekarang masih tiada penyelesaian.

 

20151221212545

Tiga bulan berlalu, namun tangki air di Kampung Chiong masih tidak berfungsi.

 

Selain itu, Ramli juga menarik perhatian peserta rombongan kepada risiko kemusnahan jika berlaku banjir dan sekiranya balak yang terkumpul merempuh bangunan dan rumah di tebing tasik.

Sukari berharap segala permasalahan yang dihadapi penduduk di Kampung Chiong, khususnya mendapat perhatian dan tindakan segera daripada pihak berwajib.

Pos Chiong yang terletak lebih kurang 60km dari pekan Gerik didiami kira-kira 240 orang daripada 57 keluarga suku kaum Temiar. Lokasinya di kawasan pedalaman yang terpencil memerlukan perjalanan selama lebih kurang 45 minit melalui jalan air atau sejam melalui jalan darat.

Pos Chiong juga masih berada di luar kepompong jaringan komunikasi yang stabil, di mana hanya beberapa lokasi tertentu mendapat liputan. Keadaan ini menyukarkan penduduk apabila berlaku kecemasan.

Selain sentuhan bersemuka melalui inisiatif  Jabatan Penerangan Malaysia, penduduk kampung turut diberikan bantuan keperluan asas dalam bentuk bekalan gula, beras dan kopi.

Program Jalinan Kasih yang berpaksi penyemaian semangat gotong-royong serta pemupukan semangat kesatuan dan kepercayaan sesama masyarakat juga merupakan sebahagian daripada ‘Touchpoints‘ dalam Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Oktober lepas.

 

Tinggalkan komen anda