Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohorViral

Empat Maut Terbakar Termasuk Kanak-Kanak Di Kota Tinggi

By 25 Disember 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

JOHOR BAHARU, 25 Dis — Seorang lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak maut dalam dua kereta yang terbakar selepas terbabit dalam  kemalangan di jambatan Sungai Dohol, dekat Kota Tinggi, Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Mohd Rizal Buang berkata kereta jenis Land Rover dan Toyota Corolla itu telah bertembung sebelum terbakar dalam kejadian kira-kira 7 pagi.

“Seorang wanita ditemui rentung di dalam kereta Toyota Corolla itu manakala satu keluarga dari Singapura terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang belum dikenal pasti jantinanya ditemui rentung di dalam Land Rover terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Rizal berkata terdapat seorang lagi kanak-kanak di dalam Land Rover berkenaan dan dia yang diselamatkan oleh orang awam dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Land Rover yang dalam perjalanan ke Mersing telah melanggar papan tanda jambatan Sungai Dohol lalu  terbabas ke arah bertentangan dan bertembung dengan kereta Toyota Corolla.

Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi bersama-sama lima anggota bomba tiba di lokasi kejadian pada 7.23 pagi bagi  operasi menyelamat.

 

-ms

 

Tinggalkan komen anda