
Oleh Fauzrina Hj Bulka & Sharifah Ithnin (Melaka)
MELAKA 5 Dis (Malaysiaaktif) — Seramai 66 orang pesara pentadbiran kerajaan negeri Melaka diraikan dalam Majlis Penghargaan Pesara pada Khamis lepas.
Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata pesara perkhidmatan awam merupakan golongan paling bertuah kerana dijaga oleh kerajaan.
Beliau merujuk kepada kemudahan perubatan yang dapat diperoleh serta pencen yang dibayar tepat pada masa sebagai antara contoh terbaik kerajaan menghargai jasa mereka.
Sehubungan itu, Idris menyeru para pesara berkenaan supaya terus membantu dalam menyampaikan mesej agenda transformasi kerajaan. Ini menurut beliau secara tidak langsung membantu masyarakat mendapat perkhidmatan terbaik daripada kerajaan.
Majlis yang diadakan di Hotel Ramada Plaza Melaka itu turut dihadiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Hj Naim Abu Bakar serta Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka.