Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohorViral

Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim Mangkat

By 5 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

JOHOR BAHRU, 5 Dis — Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim disahkan mangkat pada jam 7 malam tadi di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Pengumuman dibuat Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, pada sidang media khas yang diadakan di Bilik Gerakan Tun Abdul Razak, Bangunan Sultan Ibrahim, dekat Bukit Timbalan, sebentar tadi. Abdul Rahim berkata, jenazah almarhum akan diiring ke Istana Besar Johor Bahru dan disemayamkan di sana.

“Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) akan memulakan bacaan tahlil di bilik jenazah dan pada esok jam 7 pagi akan disempurnakan Istiadat Siram Jenazah dan Mengkafankan Jenazah.

“Jenazah kemudian akan disemayamkan di Petrana tujuh tingkat di Bilik Singgah Sana Istana Besar Johor,” katanya. Abdul Rahim berkata, bermula jam 9 pagi hingga 11.30 pagi, rakyat jelata dibenarkan untuk hadir memberikan penghormatan terakhir menggunakan pakaian sopan.

Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim diputerakan pada 7 Julai 1990 di HSA, di sini. Allahyarham adalah putera keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. Tunku Abdul Jalil mendapat pendidikan awal di Sekolah Sri Utama Johor Bahru dan Sekolah Antarabangsa Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) Zaikarim Johor Bahru, sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Zoologi dan Pemuliharaan di sebuah universiti di United Kingdom selama dua tahun.

Allahyarham yang mesra dengan gelaran Lil pernah menjalani kursus latihan kepolisan selama sembilan bulan sekali gus bergelar Inspektor pada tahun 2011. Tunku Abdul Jalil mula mendapatkan rawatan untuk penyakit kanser hati yang dihidapinya tahun lalu dan menjalani pembedahan pemindahan hati di China.

 

Tinggalkan komen anda