Skip to main content
Berita TempatanHomeJohorMelakaPerak

Keadaan Banjir Di Melaka Dan Johor Semakin Baik

By 16 Disember 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 16 Dis  — Keadaan banjir di Melaka dan Johor bertambah baik dengan dua pusat pemindahan di Melaka ditutup petang semalam dan hari ini.

Di Melaka, pusat pemindahan di Balai Raya Bukit Balai ditutup 7 pagi ini manakala Balai Raya Kampung Panchor ditutup 5 petang semalam.

Jabatan Pertahanan Awam Melaka dalam satu kenyataan hari ini berkata mangsa banjir menurun kepada 169 orang setakat 7 pagi ini berbanding 211 orang malam tadi dan kini ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Belimbing Dalam di Alor Gajah.

Di Johor, 59 orang daripada lapan keluarga dari dua buah kampung masih berada di pusat pemindahan di Ledang setakat pukul 8 pagi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Ledang, Staf Muda (PA) Mohd Shahrizan Ab Aziz berkata kesemuanya dari Parit Ponorogo dan Tanjung Gading ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Parit Bunga ekoran hujan lebat sejak 2 hari lalu.

Katanya pusat pemindahan itu akan ditutup 12 tengah hari ini berikutan cuaca yang baik hari ini.

Di Perak, Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kolonel (PA) Mohd Noor Hassan Ashari pula berkata jumlah mangsa banjir di Kampung Padang Serai, Batu Hampar, Beruas meningkat kepada 38 orang dan ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Radhuaniah.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Kampung Lorong Mesra, Changkat Jong, Teluk Intan kekal 42 orang. Mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda