Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurEkonomiHomeTerengganu

Lebih RM50 Juta Untuk Pembangunan Unisza Tembila

By 16 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

BESUT, 16 Dis Β — Kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan lebih RM50 juta bagi membina bangunan pentadbiran dan fasiliti pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Kampus Tembila di sini mulai tahun depan.

Provost Unisza Kampus Tembila, Prof Dr Che Abdullah Abu Bakar berkata RM25 juta diperuntukkan bagi pembinaan bangunan pentadbiran membabitkan pejabat, dewan dan bilik kuliah untuk menampung peningkatan bilangan pelajar di situ.

Beliau berkata pembinaan bangunan pentadbiran itu akan bermula Januari tahun depan yang mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

“Buat masa ini, universiti menghadapi kekurangan bilik kuliah kerana pelajar dari Fakulti Informatik dan Fakulti Biosumber dan Industri Makanan memerlukan banyak makmal untuk pembelajaran mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kampus berkenaan di sini hari ini.

Che Abdullah berkata sebuah perpustakaan bernilai RM15 juta juga akan mula dibina tahun depan di dalam kawasan kampus bagi kemudahan 1,500 pelajar universiti itu membuat rujukan dan pembinaannya dijangka mengambil masa selama dua tahun.

Beliau berkata sebuah asrama yang boleh memuatkan 3,000 pelajar pula akan mula dibina akhir bulan ini bagi mengatasi masalah kekurangan tempat tinggal bagi pelajar.

Katanya, buat masa ini, kolej kediaman yang ada hanya mampu menampung 900 pelajar sahaja dan 600 pelajar lagi terpaksa menyewa di luar kampus.

Dalam pada itu, beliau berkata sebuah dewan serbaguna yang dilengkapi dengan fasiliti sukan dengan kos RM800,000 hampir siap dibina dan dijangka boleh digunakan bulan depan.

Unisza Kampus Tembila mempunyai kemudahan pendidikan di peringkat Diploma, Ijazah dan Ijazah Tinggi dengan pengambilan pelajar dibuat pada Jun dan September setiap tahun.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda