Skip to main content
HomeViral

Mahdzir : Ibu Bapa Lebih Faham Konsep PT3

By 16 Disember 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

CYBERJAYA, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpendapat ibu bapa lebih memahami konsep Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diperkenalkan sejak tahun lepas.

Beliau berkata pelaksanaan baru itu diletak di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan diwakili empat komponen penting yang turut dianalisis oleh pihak sekolah.

Jelasnya, Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi) merupakan antara pembaharuan  yang diambil kira selain PT3.

“Namun, setelah dua kali PT3 dilakukan kita lihat ada peningkatan dari segi pemahaman ibu bapa mengenai keputusan peperiksaan anak-anak mereka dan kita lihat masyarakat mula menerima sistem baharu ini,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Multimedia Development Corporation (MDeC) dan International Society for Technology in Education (ISTE) di Cyberjaya kelmarin.

Sistem pentaksiran baru ini dipercayai turut diamalkan di sekolah rendah dan menengah rendah di negara-negara maju di mana mereka tidak mempunyai peperiksaan berpusat dan ujian tersebut dibuat di peringkat sekolah.

Sebanyak 465,674 calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dilaporkan mendapat keputusan Isnin lepas di seluruh negara.

Kebanyakan sekolah merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik berbanding keputusan tahun pertama pelaksanaannya pada 2014.

 

Tinggalkan komen anda