
Oleh Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 30 Disember (Malaysiaaktif) – Hujan berterusan sejak awal pagi semalam menyebabkan sebuah terowong di bawah persimpangan bertingkat Jalan Pandan ke Kota Tinggi menuju ke Taman Mutiara Emas di sini ditenggelami air sedalam lebih satu meter.
Air dikatakan mula memenuhi terowong tersebut yang menghubung jalan raya dari arah Kota Tinggi ke Taman Mutiara Emas seawal pukul 10.00 pagi dan mengakibatkan beberapa buah kenderaan terkandas dan kesesakan trafik yang teruk.
Setelah dimaklumkan oleh orang ramai, sebuah jentera bomba dikejarkan ke lokasi bagi membantu mangsa dan kenderaan yang terperangkap.
Para pengguna jalan tersebut mengadu bahawa laluan di dalam terowong tersebut memang mudah dinaiki air apabila hujan dan membahayakan mereka, selain merosakkan kenderaan berikutan keadaan jalan berlopak disebabkan hakisan.