Skip to main content
HomeViral

Trafik LPT Lancar, Kemalangan Rencat Perjalanan Utara

By 24 Disember 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dilaporkan beransur lancar pukul 9 malam ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang dihubungi Bernama berkata aliran trafik yang dilaporkan perlahan petang tadi ekoran warga kota mengambil peluang untuk pulang bercuti sempena Maulidur Rasul dan Hari Krismas kembali terkawal.

Bagaimanapun menurut jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara-Selatan Bhd, aliran trafik dari arah selatan iaitu Senawang menghala ke Simpang Ampat masih perlahan.

Katanya turut berlaku kemalangan yang membabitkan sebuah van yang terbabas ke dalam longkang di Km 263 dari arah Terowong Menora menghala Ipoh sehingga memperlahankan perjalanan ke arah utara.

“Trafik diberhentikan sejauh dua kilometer untuk memberi laluan kepada kerja mengalihkan kenderaan berkenaan,” katanya.

Selain itu bas rosak di lorong kiri di Km 239.2 dari arah Kuala Kangsar menuju Changkat Jering turut memperlahankan aliran trafik.

Sementara itu beberapa laluan arah utara dilaporkan masih sibuk termasuk laluan dari arah Bandar Baru menghala Jawi, Kuala Kangsar ke Bukit Berapit, Jelapang ke Sungai Perak, Simpang Pulai ke Ipoh Utara dan Tapah ke Gopeng.

Orang ramai boleh mengetahui maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda