
Oleh Faris Fuad (Putrajaya)
KUALA LUMPUR, 1 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Wartawan Al Jazeera, Mary Ann Jolley dilarang memasuki Malaysia kerana tindakannya boleh mengancam ketenteraman negara.
Beliau berpendapat wartawan tersebut telah membuat laporan tidak tepat mengenai kes pembunuhan warga Mongolia, Altantunya Shariibuu yang dilihat boleh mencabar sistem undang-undang negara.
“Akta Imigresen 1959/63 memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Imigresen menyekat kemasukan mana-mana warganegara asing ke Malaysia, setelah mempercayai individu berkenaan boleh membawa kemudaratan kepada keselamatan negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid menegaskan isi melibatkan Sirul Azhar telah berjaya diselesaikan dan hukuman setimpal juga telah dikenakan Mahkamah Persekutuan kepada tertuduh.
“Sehubungan itu, tidak timbul lagi isu berkaitan penutupan siasatan kes berkenaan,” katanya.
Pada 2006, Altantuya Shaariibuu berusia 28 tahun dari Ulan Bator, Mongolia disyaki ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan dengan tiga butir bom tangan di Empangan Tasik Subang, Puncak Alam, Shah Alam, Selangor, Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tiada sebab bagi pihaknya untuk membuka semula kertas siasatan kes pembunuhan melibatkan Altantuya.
Kenyataan itu dikeluarkan Khalid meskipun tertuduh, Koperal Sirul Azhar Umar yang berada di Australia waktu itu menyatakan kemungkinan untuk mendedahkan dalang kepada pembunuhan Altantunya kepada media negara itu.