Skip to main content
HomeViral

Izzah Jumpa Speaker, Mohon Ruang Pertahankan Diri

By 1 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Malaysiaaktif) – Ahli Parlimen PKR-Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengumumkan hasrat beliau hari ini untuk mengadakan perjumpaan dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi menjelaskan gambarnya bersama Jacel Kiram, anak sulung Sultan Sulu yang tersebar meluas.

Izzah berkata perjumpaan tersebut akan memberi peluang kepada beliau untuk memohon ruang dalam dewan bagi mempertahankan tindakannya tempoh hari.

“Saya sudah bagi jawapan minggu lepas dan InsyaAllah hari ini (Selasa) saya akan bertemu dengan Speaker. Saya mahu hak saya, memandangkan saya diserang bertubi-tubi di luar sana.

“Maka, saya perlu ruang saya di dalam dewan untuk mempertahankan dan menjelaskan diri,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan hak pertahankan diri diberikan kepada semua ahli Dewan Rakyat namun perlu mendapat kelulusan Speaker.

“Pada saya, bila pihak eksekutif mempunyai political interest, saya lebih yakin dengan pendirian wakil penjaga pihak legislatif, iaitu Speaker.

“Saya tidak menolak (beri keterangan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan) rujuk jawapan saya, saya minta untuk beri keterangan kepada Dewan semua,” katanya lagi.

Pada 9 November lepas tersebar gambar Nurul Izzah bertemu Jacel yang merupakan anak perempuan kepada bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III yang turut bertanggungjawab menceroboh Lahad Datu, Sabah.

Susulan itu, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan usul khas melarang dua Naib Presiden PKR iaitu Nurul Izzah Anwar dan Chua Tian Chang atau Tian Chua yang turut hadir dalam perjumpaan itu daripada memasuki negeri itu.

 

Tinggalkan komen anda