
Oleh Nadziroh Che Nazri (Alor Setar)
ALOR SETAR, 28 Disember (Malaysiaaktif) – Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini menyampaikan bantuan persekolahan berjumlah lebih RM83,000 kepada 350 anak yatim dari 11 daerah di Kedah.
Sumbangan berupa wang tunai, baucar pakaian sekolah, alat tulis dan hamper makanan daripada Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah (YAYSH) itu disampaikannya sebagai penaung yayasan tersebut pagi tadi.
Terdahulu, Ahli Lembaga Pengarah YAYSH Datuk Rosli Awang berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan yang akan bermula 3 Jan ini.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan sejak penubuhan YAYSH empat tahun lalu.
YAYSH ditubuhkan pada Julai 2011 bagi membela nasib anak-anak yatim piatu yang miskin serta tiada penjagaan yang sempurna, tanpa mengira darjah pencapaian akademik. Anak-anak ini ditanggung keseluruhannya sehingga mereka boleh berdikari.