Skip to main content
HomeViral

DAP Disarankan Lebih Sensitif Terhadap Isu Rejim Israel

By 28 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Malaysiaaktif) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan parti pembangkang, DAP supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

Beliau berkata tindakan yang dilaksanakan kerajaan berhubung hubungan diplomatik bersama rejim Israel adalah berdasarkan dasar negara.

Jelasnya, parti pembangkang yang lain juga mempunyai pendirian yang sama berkaitan isu tersebut.

“Kita tahu bahawa kita mempunyai dasar yang jelas dari segi hubungan diplomatik dengan Israel dan langkah yang dibuat oleh DAP adalah sesuatu yang luar daripada dasar kita.

“Malah parti-parti yang bersekongkol dengan DAP juga tidak bersetuju dengan pendirian DAP berkenaan.

“Saya tidak perlu sebutkan parti mana tetapi saya fikir DAP jangan melihat dari segi aspek dan elemen mereka sahaja. Mereka harus melihat dari segi sensitiviti rakyat terbanyak di negara ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Deklarasi Prioriti 2016 anjuran Yayasan Damai Sejahtera Malaysia (YDSM) hari ini.

Sebelum ini, Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin menuduh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggunakan sentimen politik dan peribadi, sambil menambah, sukan sepatutnya melampaui sempadan politik dan berkecuali daripada politik.

Namun semalam Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata Chong Zhemin telah menarik balik kenyataannya semalam dan menegaskan bahawa kenyataan itu  tidak mencerminkan pendirian parti di negeri itu.

Dua peserta Israel, Yoav Omer dan Noy Drihan tidak akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia anjuran Persekutuan Luncur Layar Antarabangsa (Isaf) itu setelah gagal mendapat visa kemasukan ke Malaysia bagi menyertai kejohanan berkenaan.

Perkara berkenaan disahkan Khamis lalu, melalui satu kenyataan oleh Persatuan Pelayar Israel (ISA).

 

Tinggalkan komen anda