Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Gerai Rakyat 1Malaysia Teluk Intan Perlu Perhatian

By 15 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Alihanafiah (Teluk Intan)

TELUK INTAN, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Suasana lengang dan sepi sentiasa dirasai di Kompleks Gerai Rakyat 1Malaysia (GR1M) di Jalan Wah Kheng Jooi, meskipun terletak hanya lebih kurang 200 meter dari lokasi pelancongan terkenal, Menara Condong Teluk Intan.

Juga,  lokasi kompleks ini yang berhadapan dengan jeti bot penambang dan bersebelahan restoran terkenal Nasi Lambai menyebabkan kurangnya pengunjung.

Tinjauan wartawan Malaysiaaktif  mendapat pelbagai komen daripada mereka yang berniaga di sini.

 

Ar0bX4YjJleHmcdHoJul6y5r5iRjaO_r3w5emZJ157pd

Saya hanya mampu mendapat pulangan sebanyak RM30 sahaja.

 

Seorang pengusaha gerai makan, Thandavarayan a/l Munisamy, 49, berkata dia sudah berniaga di sini selama setahun setengah dengan kadar sewa serendah RM 250 sebulan. Walaupun sewanya murah, namun pelanggan kurang.

“Ada masa-masanya, sehari saya hanya mampu mendapat pulangan sebanyak RM30 sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan gerainya yang terletak di bahagian yang membelakangi jalan utama, Thandavarayan berkata, “Memang orang ramai susah nak jumpa gerai saya, tapi elok juga kerana kurang habuk dan bunyi bising daripada kenderaan yang lalu lalang.”

Tambahnya lagi, “kalau kadar sewa dikurangkan menjadi RM200 sebulan pun sekurang-kurangnya saya boleh kumpul duit bagi memajukan perniagaan saya.”

 

AgKFevXMu-lwgjU8ktCMwMiRgte8EtvpHbnkhcbC4Ui4

Saipol berpendapat orang kurang berkunjung ke kedainya kerana masih baharu dan belum dikenali.

 

Sementara itu, gerai Selera Amri yang diusahakan oleh Saipol Osman, 58 dan isterinya, Ngatami Nasikin sejak lebih setahun yang lalu turut berada dalam keadaan yang sama.

Saipol berpendapat orang kurang berkunjung ke premisnya kerana masih baharu dan belum dikenali berbanding restoran lain di Teluk Intan.

Beliau berkata Jalan Wah Kheng Jooi yang dipenuhi deretan kedai perkakasan, juga sibuk dengan kenderaan, terutama waktu tengah hari, hingga menyukarkan orang ramai untuk berhenti.

Bagi peniaga borong makanan ringan, Ah Bon, 58, pula sewa RM 250 sebulan amat murah berbanding kadar sewa di lain-lain tempat di bandar ini.

Dia yang dikenali sebagai ‘Abu’  berpendirian positif  dengan mengatakan kadar sewa murah membolehkannya menjual barangan dengan lebih murah berbanding kedai lain.

Ah Bon akui memang tidak banyak orang singgah ke gerainya kerana kedudukannya tidak menghadap jalan utama, namun dia berkata mungkin lagi setahun orang akan tahu tentang perniagaannya.

Semua peniaga di sini berharap agar Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dapat membuat sesuatu untuk menarik kunjungan orang ramai ke kompleks tersebut. Mereka berpendapat satu hari seminggu patut diperuntukkan untuk jualan Pasar Karat, memandangkan masih terdapat kawasan lapang di sekeliling.

 

Tinggalkan komen anda