Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePulau PinangViral

Kanak-Kanak Setahun Enam Bulan Terperangkap Dalam Kereta

By 6 Januari 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

KEPALA BATAS, 6 Jan  — Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan terperangkap di dalam sebuah kereta milik ibunya selepas kenderaan itu terkunci dari dalam di sebuah taska di Bertam Indah, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pulau Pinang berkata dalam kejadian pada pukul 7.45 pagi itu, ibu kanak-kanak berkenaan yang berusia 30-an dikatakan menghantar seorang lagi anaknya ke taska dan meninggalkan anak bongsunya itu di dalam kereta.

“Ibu kanak-kanak itu yang merupakan penjawat awam menghantar anak perempuannya berusia lima tahun ke taska itu sebelum menghantar anak bongsunya ke rumah pengasuh.

“Wanita itu meninggalkan anaknya di dalam kereta dan memberikan kunci kereta itu untuk anaknya bermain…anak kecil itu tertekan butang ‘lock’ pada alat kawalan kunci kereta itu,” katanya di sini Rabu.

Beliau berkata orang ramai menghubungi JPAM Kepala Batas pukul 8.15 pagi setelah gagal membuka pintu kereta itu dan anggota JPAM mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membuka pintu kereta.

Ibu kanak-kanak itu yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, beliau panik apabila tidak dapat membuka pintu keretanya dan meminta bantuan beberapa ibu bapa yang menghantar anak di taska berkenaan.

“Masa kami cuba buka pintu kereta, anak saya yang duduk di kerusi kanak-kanak di tempat duduk penumpang hadapan menangis…mungkin dia panas,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda