
Oleh Syed Hisham Shah
KUALA LUMPUR, 15 Jan (Malayasiaktif) – Tiada sebarang penutupan cawangan kedai minuman kopi terkemuka Starbucks di Malaysia berikutan insiden letupan bom di ibu negara Indonesia itu semalam.
Menurut Pegawai Bahagian Komunikasi Perhubungan Awam Starbucks Malaysia Salleh Haron, kejadian itu tidak menjejaskan operasi perniagaan kedai minuman tersebut.
“Insiden tersebut tidak memberi kesan kepada aktiviti perniagaan kami di sini, biarpun di Indonesia mereka telah menutup beberapa cawangan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kami tidak mahu membuat apa-apa andaian berhubung insiden itu. Starbucks Malaysia menjalankan operasi seperti biasa,” katanya ketika dihubungi wartawan Malaysiaaktif hari ini.
Dalam perkembangan sama, syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) turut mengambil tindakan yang sama meneruskan semua operasi penerbangan seperti biasa.
Bagaimanapun, penumpang dinasihatkan supaya berada sekurang-kurangnya dua jam lebih awal sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta Soekarno-Hatta untuk pemeriksaan keselamatan.
MAS memandang serius kejadian tersebut dan akan memaklumkan kepada penumpang sekiranya terdapat sebarang maklumat terkini.
Dalam insiden letupan bom semalam, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh.