Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedahViral

Muhkriz Patut Diberi Peluang TerusTadbir – Muhyiddin

By 21 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir perlu diberikan peluang untuk terus menggalas tanggungjawab mentadbir kerajaan negeri.

Beliau berkata Muhkriz adalah seorang individu yang jujur, dihormati dan disenangi ahli parti danrakyat.

Jelasnya, Menteri Besar itu juga merupakan salah satu sebab Barisan Nasional maraih undian majoriti pada Pilihan Raya Umum yang lepas.

“Antara faktor kemenangan Barisan Nasional di negeri Kedah adalah ketokohan Mukhriz sebagai pemimpin pelapis Umno sehinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-13 menjanjikan Mukhriz sebagai MB Kedah sekiranya BN berjaya memenangi negeri itu.

“Beliau adalah seorang Menteri Besar yang bersih, disenangi oleh rakyat dan tidak terpalit dengan sebarang tuduhan salah laku moral, pecah amanah dan rasuah yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap parti dan kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang Timbalan Presiden Umno menggesa wakil-wakil rakyat dan pemimpin Umno Bahagian untuk terus memberikan sokongan dan kepercayaan penuh kepada Mukhriz.

Tambahnya, desakan untuk Muhkriz meletakkan jawatan Ketua Perhubungan Umno Negeri dan Menteri Besar adalah satu perkara yang amat tidak wajar.

“Sekiranya desakan supaya Mukhriz disingkirkan dibuat atas kepentingan politik peribadi pihak-pihak tertentu, dan bukannya atas kepentingan rakyat negeri Kedah, maka ini adalah sesuatu yang amat malang bagi rakyat negeri Kedah dan Umno yang sedang berhadapan dengan krisis kepercayaan rakyat yang parah.

“Kebimbangan saya yang paling besar ialah perpecahan di dalam Umno akan bertambah ketara dan parti Umno akan menjadi semakin lemah.

“Saya amat kesal dalam keadaan rakyat dan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi yang cukup getir serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan BN semakin terhakis, rakyat khususnya di negeri Kedah dibebankan lagi dengan krisis politik yang jelik dan memalukan,” katanya.

Semalam, sekumpulan pemimpin Umno Kedah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat rombakan segera terhadap kepimpinan tertinggi parti negeri itu dan jawatan Menteri Besar Kedah yang dipegang Mukhriz.

Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam sidang media khas selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan hampir kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen negeri parti itu.

 

Tinggalkan komen anda