Skip to main content
EkonomiHomeViral

Pemohonan Gagal, Perhimpunan Bantah TPPA Haram

By 19 Januari 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Malaysiaaktif) –Permohonan untuk mengadakan perhimpunan aman bagi membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Sabtu ini tidak diluluskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah memaklumkan notis yang diberikan kepada pihaknya pada 12 Januari lalu ditolak berikutan kegagalan penganjur untuk mengemukakan surat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jelasnya, penganjur perlu mendapat kebenaran pemilik tanah untuk mengadakan perhimpunan seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Dalam kes ini penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada DBKL sebelum menyerahkan notis kepada polis.

“Pertemuan polis dengan penganjur semalam turut mencadangkan tempat perhimpunan ditukar ke Padang Merbok bagi tujuan keselamatan orang ramai,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Menurutnya, penganjur berkeras untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka kerana yakin lokasi tersebut dapat menarik lebih ramai lagi peserta.

Himpunan tersebut itu dijangka dihadiri seramai 20,000 peserta bermula jam 2.30 petang hingga 5 petang.

Sebelum ini, pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki memaklumkan parti islam itu akan mengerahkan ahlinya untuk menyertai Demonstrasi Rakyat Bantah TPPA pada 23 Januari ini bagi membantah tindakan kerajaan yang ingin menandatangani Perjanjian TPPA itu.

Menurutnya, perjanjian itu bukan sahaja memberi kesan buruk kepada ekonomi tetapi akan menjurus kepada persaingan ketenteraan.

 

Tinggalkan komen anda