Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraEkonomiHomePerakViral

Tanah: Penyelewengan, Salah Guna Kuasa, Rasuah

By 20 Januari 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

IPOH, 20 Jan — Beberapa kes penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah melibatkan tanah pertanian serta tanah lot bagi urusan pindah milik dikesan berlaku di Perak, kata Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Menyedari perkara itu, Zambry memberi amaran pihaknya akan memperketat pemantauan di semua pejabat kerajaan khususnya pejabat tanah serta pejabat daerah bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku.

“Apabila kerajaan negeri mahu menjalankan proses pemutihan di sesuatu kawasan atau ‘membenarkan’ sesuatu kawasan (diduduki), kita mahu penduduk yang telah lama menetap di situ mendapat keadilan.

“Tetapi…ada kawasan yang diberikan kepada orang yang bukan berada di kawasan itu dan mereka yang tinggal di sana tidak diberikan hak,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di sini, Rabu.

Zambry memberi amaran pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas kakitangan kerajaan negeri atau mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam penyelewengan itu.

Menjelas lanjut, Zambry berkata, kerajaan negeri melalui satu unit khas sedang menjalankan proses siasatan berhubung isu terbabit dan ia dijangka siap tidak lama lagi.

“Kami telah melaksanakan proses siasatan. Kami mempunyai unit khas yang turut melibatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kita tidak boleh membiarkan perkara-perkara melibatkan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah dalam hal yang sebegini,” katanya.

 

— Bernama

 

Tinggalkan komen anda