Skip to main content
HomeViral

Satu Lagi Kematian Akibat Denggi Direkodkan Di Pulau Perhentian

By 20 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA TERENGGANU, 20 Jan — Pulau Perhentian menjadi lokaliti terbaru denggi di Terengganu apabila mencatatkan satu lagi kematian semalam, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

Beliau berkata murid Tahun Enam itu meninggal dunia akibat denggi di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah.

“Mangsa dimasukkan ke hospital pada Isnin malam setelah mengalami demam selama enam hari dan ketika ini adiknya juga masih berada di Hospital Besut untuk menerima rawatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya sepasukan petugas daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah membuat semburan dan pemeriksaan kebersihan di sekitar Pulau Perhentian bagi mencegah denggi.

Bagi tempoh 1 Jan hingga hari ini, 343 kes denggi dengan lima kematian dicatatkan di Terengganu, katanya.

Muhammad Pehimi berkata setakat ini terdapat 25 lokaliti denggi di seluruh Terengganu iaitu 16 di Kuala Terengganu, enam di Kuala Nerus, dua di Besut dan satu di Dungun.

Lokaliti denggi di Kuala Terengganu ialah Kampung Kedai Buluh, Kampung Losong Haji Su, Kampung Panji Alam, Kampung Chendering Pantai, Kampung Bukit Besar, Kampung Gong Tok Nasek Hilir, Kampung Losong Haji Mat Shafie, Flat Polis Hiliran, Hiliran Jejawi, Kampung Nibong Atas, Kondo Rakyat Kuala Ibai, Lorong Bakti, Kampung Pulau Rusa Hilir, Lorong Binjai Tok Jamal, Flat Bukit Kecil dan Flat Gelong Bilal.

Di Kuala Nerus, enam lokaliti denggi ialah di Lorong 8 Taman Pmint Perdana, Kampung Bukit Kandis, Kampung Paya Lima Amas, Taman Pmint Perdana Fasa 5, Kampung Duyung Besar dan Taman Desa Solehah; dua lokaliti di Besut ialah di Pengkalan Nyireh dan Pulau Perhentian manakala di Dungun ialah Kampung Delong Tengah.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda