Skip to main content
Berita TempatanHome

8000 Pengunjung Di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Papar

By 6 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Zuraidah Ahmad & Johnny G.Kimlon (Sabah)

 PAPAR,6 Feb (Malaysiaktif) –? Kehadiran 8,000 pengunjung berbilang kaum yang membanjiri Pekan Papar dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2016 malam tadi, sekaligus membuktikan keutuhan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Manis yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), Datuk Seri Panglima Haji Abdul Rahim Ismail berkata ia mencerminkan ikatan tulen masyarakat majmuk di negara ini.

“Kita amat berbangga dengan perpaduan yang kita warisi sejak sekian lama dan keakraban antara kaum yang terjalin itu bukanlah direka-reka.

“Malah, berkongsi perayaan itu juga adalah hal yang klise bagi masyarakat di negeri ini dan itulah keistimewaan masyarakat kita,” ujarnya.

 

Rumah Terbuka CNY Papar 6

 

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kawasan Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin percaya bahawa perpaduan kekal sebagai pemangkin untuk memartabatkan negara.

“Ini menunjukkan perpaduan rakyat pelbagai kaum serta sokongan terhadap konsep 1Malaysia masih berada di tahap tinggi.

“Melihat kepada sambutan meriah ini, kita akan memikirkan pendekatan yang lain pada tahun depan untuk menarik lebih banyak penglibatan orang ramai terhadap program-program kita,” tambahnya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, program anjuran gabungan 30 badan NGO itu mampu menjadi platform yang merapatkan hubungan baik bukan sahaja antara sesama NGO penganjur, tetapi juga di antara penganjur dengan masyarakat Tiong Hua yang lain.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Cina Papar, Datuk Liew Siew Kian berkata penganjuran kali kedua itu adalah hasil kerjasama beberapa NGO dan wakil rakyatdi daerah tersebut.

Beliau berharap agar masyarakat Tiong Hua terus memberi sokongan terhadap apa jua program yang diadakan tanpa mengira kaum.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Johnny Mositun; ADUN Kawang merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Penolong Pegawai Daerah, William Ahlan dan para kapitan Cina.

Majlis berkonsepkan karnival itu meriah dengan lebih seribu tanglung yang dipasang secara kekal, persembahan tarian singa, naga, tarian tradisi, nyanyian dan koir oleh pelajar sekolah serta belia.

 

Tinggalkan komen anda