
Oleh Mohd Zulfadli Ab Hamid (Kuala Krai)
KUALA KRAI, 13 Feb (Malaysiaaktif) — Jambatan Pemberian di Kuala Krai yang musnah dilanda arus semasa musim tengkujuh tahun lepas telah diganti dengan struktur baharu oleh Angkatan Tentera Malaysia. Jambatan ini merupakan laluan utama yang menghubungkan Kg.Pemberian dan Kg.Manjor dengan Bandar Kuala Krai.
Majlis Penyerahan Jambatan Kg. Pemberian disempurnakan hari ini oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin bersama Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.
Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan disaksikan oleh lebih 1500 orang penduduk tempatan.
Berikutan kemusnahan pada jambatan tersebut, pihak ATM telah membina jambatan sementara dengan menggunakan kaedah ‘jet float’ bagi memberi kemudahan sementara kepada penduduk.
Setelah banjir surut sepenuhnya, pihak tentera merombak semula jambatan jet float dan membaiki jambatan besi.
Menurut penduduk tempatan jambatan ini juga hanya bersifat sementara dan akan digantikan dengan struktur kekal pada masa akan datang.