
Oleh R.Fauzi Abdul Lahap & Charlane Aloysius (Sabah)
SANDAKAN, SABAH, 14 Feb 2016 (Malaysiaktif) –? Gotong-royong sempena Kempen Pencegahan wabak denggi diadakan serentak di tiga kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra, Kg.Karamunting dan Kg.Bakau di sini pagi semalam.
Rekod menunjukkan Sandakan merupakan daerah yang mencatat kes denggi tertinggi berbanding daerah lain di Sabah iaitu 249 kes sejak September 2015 hingga Februari 2016 dengan empat kematian.
Dr Zulhafizi Pandak Idris dari Pejabat Kesihatan Sandakan berkata kesedaran tentang bahaya wabak denggi penting dan berharap masyarakat lebih mengutamakan kebersihan di persekitaran tempat tinggal mereka.
“Peruntukan masa 10 minit seminggu untuk membersihkan rumah sebagai langkah awal pencegahan penting dari wabak ini terus merebak,” katanya lagi.
Gotong-royong yang disertai oleh seramai 500 penduduk setempat ini, antara lain berujuan menggalakkan penjagaan kebersihan dengan cara memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.
Selain itu, Jabatan Kesihatan dan Majlis Perbandaran Sandakan turut merekodkan 22 kawasan aktif wabak denggi di mana langkah-langkah kawalan dilakukan, termasuk semburan, gotong-royong, penerangan dan edaran risalah dari semasa kesemasa.