Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Mangsa Banjir Terpaksa Lupakan Kegembiraan Tahun Baharu Cina

By 7 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

MELAKA, 7 Feb  — Masyarakat Cina yang terjejas oleh bencana banjir di sini terpaksa melupakan kegembiraan menyambut Tahun Baharu Cina esok kerana tidak dapat membuat persediaan bagi meraikan perayaan itu.

Mereka tidak dapat memasak untuk makan besar pada malam ini dan ada daripada mereka terpaksa menyambut perayaan tersebut di pusat pemindahan banjir antaranya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munsyi Abdullah di sini.

Chan Lim Da, 45, berkata dia dan suaminya Tay Swee Chong, 54, selesai mengemas rumah mereka petang semalam untuk sambutan perayaan itu namun telah dinaiki air malam tadi.

Peniaga nasi lemak itu berkata rumah yang didiaminya sejak 2006 itu dinaiki air kira-kira 11.30 malam selepas sejam pulang ke rumah setelah keluar makan bersama-sama keluarga mentuanya.

“Sebelum keluar rumah petang semalam semua persiapan telah siap cuma menunggu petang ini sahaja untuk memasak dan makan besar bersama keluarga tapi bila balik rumah malam tadi saya dan keluarga terkejut air telah naik paras lutut.

“Penat tidak hilang lagi … bila tengok air dah masuk rumah rasa sedih sebab tidak dapat sambut Tahun Baharu Cina seperti biasa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya yang masih digenangi air di sini hari ini.

Beliau berkata makan besar sepatutnya diadakan malam ini juga terpaksa dibatalkan akibat banjir dan dia terpaksa menghantar tiga anaknya termasuk seorang anak kurang upaya berusia 20 tahun ke rumah ibunya di Taman Seri Bayan Durian Tunggal untuk menyambut Tahun Baharu Cina.

Chong Yee Moi, 60, pula berkata sebaik pulang dari rumah anaknya di Singapura pada kira-kira 9 malam tadi, rumahnya sudah dinaiki air dan tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang.

“Saya belum tahu apa yang rosak di rumah sebab terus ke pusat pemindahan. Semua persiapan sudah siap tapi tidak boleh buat apa-apa … tidak boleh masak untuk makan besar.

“Saya akan sambut Tahun Baharu Cina di sini. Sangat sedih. Apa boleh buat …apa yang orang bagi makan di pusat pemindahan ini kita makan la,” katanya dengan sayu.

Warga emas itu berkata sebelum ini kejadian banjir telah berlaku pada 2006 dan 2011.

Sementara itu, Ng Guan Thuan, 60, berkata dia dan lima lagi anggota keluarga terpaksa menyambut Tahun Baharu Cina di pusat pemindahan di SMK Munsyi Abdullah namun berharap air segera surut.

“Hati sakit … sedih. Tidak boleh sembahyang dan makan besar bersama keluarga. Ini kali kedua berlaku, (sebelum ini) masa Tahun Baharu Cina pada 2006,” katanya.

Setakat 12 tengah hari ini, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan banjir di Melaka meningkat kepada 3,092 orang daripada 670 keluarga. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,024 orang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda