Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohorViral

Operasi Buru Hidupan Liar Pemusnah Di Mukim Kesang

By 1 Februari 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Zuriatina Tamat (Tangkak)

TANGKAK, 1 Feb (Malaysiaaktif) – Menurut Seksyen 54 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], hidupan liar yang membawa mudarat / kerosakan kepada tanaman, sayuran, buah-buahan atau ternakan boleh diburu setelah segala usaha dilakukan untuk mengelakkan kerosakan harta benda dan tanaman.

Sehubungan itu, satu operasi menangani masalah hidupan liar telah diadakan Sabtu lepas di sekitar Mukim Kesang di sini.

Seramai 26 anggota Jabatan Perhilitan Negeri Johor dengan dibantu seramai 25 orang pemburu berlesen dalam kawasan parlimen Ledang yang dibahagikan kepada empat kumpulan terlibat dalam Operasi Basmi Musuh Tanaman itu.

Operasi meliputi empat kawasan, iaitu Kampung Tanjung Agas, Kampung Tanjung Gading Timur dan Barat, Kampung Kesang dan Kampung Parit Bunga.

Operasi dirasmikan di Dewan Kampung Parit Karang Laut oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri.

Menurut data dari Perhilitan Johor, kerugian melibatkan kemusnahan oleh hidupan liar di daerah Tangkak pada 2015 dianggarkan sebanyak RM15,700, manakala jumlah kerugian yang di Negeri Johor pula, ialah RM203,290. Bilangan aduan yang diterima sebanyak 1,004 kes untuk keseluruhan negeri, yang mana 28 dari daerah Tangkak.

 

Tinggalkan komen anda