
Oleh Zuriatina Tamat (Tangkak)
TANGKAK, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) berhasrat memperhebat pelaksanaan program penerangan tentang Pengurusan Harta Pusaka Kecil di bawah bidang kuasa mereka.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri, sehubungan itu terdapat harta bernilai lebih kurang RM60 bilion yang tidak boleh dijana di dalam Malaysia dengan lebih kurang RM40billion daripadanya adalah harta simati yang tidak dituntut.
Beliau berkata ini berlaku kerana kurang kesedaran, kurang pengetahuan dalam kalangan waris dan sebagainya.
Menurut Samuri, bagi kemudahan orang ramai, JKPTG menyediakan beberapa inisiatif untuk waris, seperti semakan status melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ke 15888 dan Sistem SMS Blast untuk memaklumkan pemohon bahawa permohonan telah didaftarkan, meminta pemohon mengemukakan maklumat tambahan jika permohonan tidak lengkap atau seterusnya memaklumkan tarikh perbicaraan dan perintah pembahagian.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Forum dan Taklimat Berhubung Pengurusan Pusaka Kecil di Dewan Teater, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Tangkak, Johor Sabtu lepas.
Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang NRE atau melalui laman JKPTG di www.jkptg.gov.my untuk maklumat lanjut berkaitan Pengurusan Harta Pusaka Kecil.