Skip to main content
Berita TempatanHomeMelaka

PDRM Melaka Tumpaskan Kumpulan Wan Jerantut

By 26 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 26 Feb (Malaysiaaktif) — Polis Diraja Malaysia Melaka (PDRM) berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai Wan Jerantut dengan tertangkapnya 11 orang ahlinya.

Penangkapan sembilan lelaki dan dua wanita itu sekali gus menyelesaikan enam kes kecurian kabel yang berlaku di negeri Melaka tahun lepas.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan ini kerana peningkatan harga tembaga di pasaran akan turut mempengaruhi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan bagi mencari keuntungan mudah dengan melakukan kecurian kabel,” ujar Ketua Polis Melaka, DCP Datuk Ramli bin Haji Din.

Berdasarkan statistik perbandingan Januari hingga Disember 2015 mencatatkan 73 kes berbanding tempoh yang sama pada 2014 yang mencatatkan 61 kes iaitu peningkatan sebanyak 12 kes atau 20 peratus.

“Kes kecurian kabel bukan sahaja menjejaskan pihak syarikat yang terlibat dalam menyediakan kemudahan dan perkhidmatan tetapi ia juga turut menjejaskan masyarakat dan juga aspek keselamatan yang menggunakan kemudahan komunikasi dan teknologi,” katanya.

Tambah Ramli, kerjasama serta penglibatan semua pihak, khususnya masyarakat setempat diperlukan dalam memastikan kemudahan yang telah disediakan dipelihara dan dilindungi daripada sebarang kejadian yang tidak diingini seperti gejala vandalisme dan kejadian kecurian kabel.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengiktirafan Telekom Malaysia Berhad Melaka kepada 23 orang pegawai kanan dan pegawai rendah polis pagi tadi.

“Kaedah-kaedah pencegahan jenayah yang lebih berkesan, sistematik dan kemas kini perlu dibentuk seperti kawalan, pemantauan dan rondaan perlu dikaji semula dengan menambah baik sistem yang sedia ada,” jelasnya.

 

Tinggalkan komen anda