Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pemaju Disaran Ganti Bakau Dengan Cerucuk Besi, Konkrit

By 28 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Asmidar Zainol & Saiful Rahman Sabri (Sabah)

 KOTA KINABALU, 28 Feb (Malaysiaktif) –? Pemaju hartanah disaran menukar kaedah pembinaan menggunakan cerucuk kayu bakau kepada besi atau konkrit bagi mengelak penebangan kayu bakau secara berleluasa.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Datuk Seri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pemaju, jurutera, arkitek perlu memainkan peranan untuk tidak menggunakan kayu bakau sebagai cerucuk pembinaan.

“Sekiranya mereka dapat mengelak dari menggunakan kayu bakau, ia secara tidak langsung dapat membantu pihak NRE dalam memelihara dan memulihara hutan terutamanya hutan bakau” ujar beliau.

Jelasnya, pihak kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Pemuliharaan Tanah Lembap Sabah telah mencalonkan Kota Kinabalu Wetland Centre (KKWC) sebagai Tapak Ramsar ke-7 negara dan dijangka akan menerima pengitirafan tersebut selewat-lewatnya hujung tahun ini.

 

 

Lokasi lain tapak Ramsar adalah Tasek Bera, Pahang; Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai, Johor; Kuching Wetland National Park, Sarawak; dan Lower Kinabatangan- Segama Wetlands, Sabah.

Wan Junaidi dalam ucapannya semalam turut mengumumkan bajet kewangan sebanyak RM750 ribu kepada Kementerian Kemajuan Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk menaiktaraf perkhidmatan dan kemudahan di pusat tanah lembap berkenaan.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun juga telah mengumumkan peruntukan dari kerajaan negeri sebanyak RM500 ribu bagi tujuan yang sama.

“Masyarakat Sabah dan Malaysia amnnya patut berbangga kerana Kota Kinabalu merupakan satu-satunya bandaraya yang mempunyai tanah lembap berhutankan pokok bakau berbanding Jepun yang hanya mempunyai tanah lembap.

“Di dalam hutan bakau ini kita boleh lihat sebanyak 90 jenis burung daripada 642 jenis burung yang berhijrah daripada negara-negara sejuk. Seharusnya kita menjaganya dengan baik kerana ia adalah tanggungjawab bersama,” tambahnya.

Dalam pada itu, ‘Wetlands for our Future: Sustainable Livehoods’ dipilih sebagai tema Sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia 2016 dan ia disambut setiap 02 Februari bagi memperingati tarikh Koncensyen Ramsar yang ditandatangani pada 1971.

Katanya, Konvensyen Ramsar merupakan perjanjian antara kerajaan yang menyediakan rangka kerja bagi tindakan dan kerjasama diperingkat kebangsaan serta antarabangsa bagi kenservasi dan penggunaan tanah lembap secara lestari.

Sebanyak 2,227 kawasan dengan keluasan 214,875,598 hektar tanah lembap dari 169 negara telah dikenalpasti sebagai tanah lembap Ramsar yang mempunyai kepentingan antarabangsa.

Antara kreteria bagi pengenalanpasti dan pemilihan tapak Ramsar adalah mempunyai kepelbagaian biodiversiti dan fungsi tapak berkenaan sebagai tempat pembiakan burung air.

Pada majlis itu, Junaidi turut menyaksikan pelancaran Buku A Guide to the Plants of Kota Kinabalu Wetlands oleh KKWC.

Hadir sama di majlis tersebut adalah Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Alam Sekitar) NRE, Datuk Seri Dr Azimuddin Bahari, Presiden Sabah Wetland Conservation Society, Datuk Haji Zainie Abd Aucasa.

 

Tinggalkan komen anda