Oleh M.Zakri Chan (Melaka)
MELAKA 28 Feb (Malaysiaaktif) — Siput Belitung, Siput Sedut, siput bermata merah atau nama saintifiknya Cerithidea Obtusa merupakan sejenis kerang-kerangan yang popular dijadikan hidangan masak lemak cili padi bersama batang keladi.
Siput yang digemari oleh hampir semua masyarakat di Malaysia kini menyebabkan permintaan meningkat sepanjang masa seiring harganya.
Harga sekilo yang mencecah sehingga RM10.00 menjadikan Siput Sedut ibarat ’emas hitam’ dalam lumpur yang menjadi punca rezeki kepada nelayan persisiran pantai Muara Serkam Pantai Melaka.
Kerja mencari Siput Sedut bukan perkara mudah kerana pelbagai rintangan harus dilalui, ibarat pepatah “alah bisa tegal biasa”. Pencari siput sedut perlu menyusur hingga beberapa kilometer meredah lumpur yang kadang kala mencecah hingga paras pinggang, selain berisiko menemui ular dan penyegat.
Seorang pencari siput, Adi Efendi Bidin, 30, memaklumkan Malaysiaaktif bahawa usahanya mencari siput sedut pada hujung minggu sebagai kerja sambilan mampu meraih pendapatan hingga RM400 dan ada kalanya hanya cukup untuk dibawa pulang untuk dimakan bersama keluarga.
Zulklifi Ibrahim, 38, berkata mencari siput amat mencabar kerana beliau pernah tersesat dalam hutan bakau selama 3 jam untuk mencari jalan keluar dan oleh kerana panik dan keletihan, hasil pencarian terpaksa dibuang.