Skip to main content
EkonomiHomeViral

Surat Penjimatan Kepada 37 Kementerian Dikeluarkan Bulan Ini

By 14 Februari 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

JOHOR BAHARU, 14 Feb — Surat pekeliling bagi mewajibkan kesemua 37 kementerian melaksanakan langkah penjimatan susulan pengubahsuaian Bajet 2016, akan dikeluarkan dan diedarkan bulan ini.

Ketua Penolong Pengarah Pejabat Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Mohd Harzi Shah Pahruddin berkata dengan pengeluaran pekeliling itu, setiap kementerian perlu menyusun semula perbelanjaan jabatan mereka dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk tidak menfokuskan terhadap majlis keraian atau membeli bunga untuk sesuatu majlis.

“Kita mengalakkan mereka mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Apa yang lebih penting, ia (pengurangan) tidak menjejaskan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat Bajet 2016 kepada orang awam pada majlis anjuran Jabatan Penerangan Johor di Dewan Galeri Glulam di sini, hari ini.

Beliau berkata pada tahun ini, kerajaan menetapkan kesemua kementerian perlu mencapai penjimatan antara RM7 hingga RM9 bilion, berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Kebergantungan negara terhadap hasil penjualan minyak mentah dan tanaman komoditi menyebabkan ia mudah terjejas dengan kelembapan ekonomi memandangkan kedua-dua sumber itu seringkali mengalami penurunan harga mendadak dalam pasaran semasa.

Namun, katanya kerajaan masih mengekalkan pembayaran kadar emolumen, pencen, gaji serta kenaikan satu tangga gaji tahunan penjawat awam, ketika Malaysia berdepan dengan kelembapan ekonomi itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda